Thursday, February 16, 2012

Cakap Mandarin Waktu Subuh

ISMAIL SALLEH (kanan) memberi kata semangat kepada Noraini sambil diperhatikan abangnya, Jefri (kiri).


Oleh MANIRAH OTHMAN

Bibir gadis berusia 17 tahun itu seperti bergerak-gerak, semacam ada sesuatu yang ingin diluahkan.

Ketika dihampiri, gadis bernama Noraini Ismail itu kembali senyap. Tubuhnya menampakkan kegelisahan, namun masih mampu tersenyum.

Persoalan mula timbul, adakah benar Noraini berubah hanya kerana satu kemalangan?

Ramai mendakwa sejak kejadian pada 10 Januari 2012, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah, Besut itu mampu bertutur dalam pelbagai bahasa asing.

Dakwa keluarga gadis itu, antara bahasa yang mampu dituturkan ialah bahasa Mandarin, Hokkien, Korea dan beberapa bahasa asing.

Bagi mencari kepastian, penulis bersama jurugambar Kosmo! Ahad hadir untuk menemuramah gadis yang berjaya mencuri tumpuan negara.

Dalam pertemuan itu, Kosmo! Ahad turut ditemani wartawan dari akhbar Sin Chew Daily Terengganu, Lew I-Ling bagi memastikan kesahihan bahasa yang digunakan gadis itu.

Tujuan penulis hanya satu, iaitu untuk mencari kebenaran di sebalik dakwaan yang mengatakan dia mampu bertutur dalam pelbagai bahasa.

"Maaflah, dia hanya akan bercakap bahasa asing selepas bangun dari tidur pada waktu subuh," ujar ibu Noraini, Masena Daud, 48, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Medang, Besut, baru-baru ini.

Namun, penulis sedikit tergamam pada ketika Noraini mula membuka suara. Pelat bahasanya cukup asing walaupun bercakap dalam bahasa Melayu.

Dia sebenarnya membawa sisi lain, iaitu seorang anak keluarga Cina yang ingin bercakap Melayu, sedangkan perwatakan asal Noraini hanyalah gadis kampung yang cukup kuat pelat Melayunya.

"Saya cuba cakap seperti biasa tapi tak boleh. Mama marah dan suruh saya cakap elok-elok tapi saya memang tak boleh cakap macam biasa," katanya dalam pelat loghat Cina.

Jelasnya, perkara itu tidak dibuat-buat dan pakar perubatan yang ditemuinya memberitahu saraf percakapannya mungkin terjejas ekoran kemalangan tersebut.

"Kadang-kadang saya diserang sakit kepala yang kuat tapi saya tak tahu kenapa saya cakap bahasa asing. Saya nak cakap seperti biasa tapi tak boleh," ujarnya lagi.

Mengimbas kejadian 10 Januari lalu, keganjilan mula dikesan selepas Noraini pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan akibat kemalangan.

Kemalangan berlaku ketika dia pulang dari sekolah. Dia yang membonceng motosikal abangnya, Jefri Ismail, 18, terbabit dalam satu kemalangan di Simpang Empat. Mereka kemudian melanggar sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat di Kampung Alor Lintang.

Peliknya, dalam kejadian itu, Noraini yang pengsan selama 11 jam hanya mengalami luka kecil di kaki namun selepas dibuat imbasan sinar-X, doktor memaklumkan terdapat darah beku di kepalanya.

Selepas tiga hari, doktor mengesahkan darah beku itu hilang dan dia dibenarkan pulang. Namun secara tiba-tiba gadis ini tidak boleh bercakap dan terpaksa dirujuk ke hospital semula.

Melalui terapi yang dilakukan, dia mampu bercakap semula, namun apa yang mengejutkan ahli keluarganya ialah bahasa yang digunakan.

"Dia tidak pernah mempelajari bahasa asing melainkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Jadi kami terkejut kerana dia mampu bertutur dalam bahasa Cina, Korea dan Jepun," jelas Masena.

Bagaimanapun kata Masena, sekalipun mampu bertutur dalam bahasa asing, anak gadisnya itu boleh memahami tulisan bahasa yang dituturkannya.

Sementara itu, I-Ling mengakui pelat bahasa yang digunakan Noraini memang merupakan pelat masyarakat Cina.

"Saya terkejut kerana secara fizikal, dia memang seorang anak Melayu, tetapi ketika bercakap, pelatnya dalam bahasa Cina," ujar I-Ling.

Bagi menguji kesahihan itu, I-Ling bertanyakan beberapa soalan asas dalam bahasa Cina kepada Noraini tetapi ia gagal dibalas oleh gadis itu.

"Saya tidak pasti sama ada dia faham atau tidak kerana saya hanya bertanyakan 'Apa Khabar'. Kalau benar dia mampu bercakap dalam bahasa itu, dia pasti menjawab soalan asas itu.

"Tetapi sepanjang dua jam pertemuan, dia langsung tidak bercakap dalam bahasa asing termasuklah bahasa Cina," jelasnya.

Sementara itu, Masena memberitahu, Noraini akan kembali bersekolah esok dan dia berharap rakan-rakan anaknya itu tidak akan mempersendakannya.

"Ia mungkin akan buat anak saya malu dan saya harap kawan-kawan dia boleh faham keadaan dia dan bergaul dengannya seperti biasa.

"Saya risau anak saya akan berasa rendah diri dan tidak mahu meneruskan persekolahan," katanya.


Hantu cina atau separa sedar

Kebolehan luar biasa yang dilalui Noraini Ismail selepas terlibat dengan kemalangan pada awal bulan lalu dikaitkan dengan dua andaian.

Mengikut pakar perubatan tradisional, kejadian itu akibat diganggu 'hantu Cina', manakala andaian kedua daripada pakar psikologi menjelaskan, kebolehan itu adalah kebolehan separa sedar.

Pengamal perubatan tradisional yang merawat gadis itu baru-baru ini mendakwa, Noraini disampuk roh hantu Cina yang berkeliaran di tempat kemalangan.

"Roh ini biasanya akan memasuki badan individu yang lemah sekali gus membolehkan dia bertutur dalam bahasa yang digunakan oleh roh itu," katanya yang enggan dikenali.

Tambahnya, satu masa dahulu terdapat sebuah kedai milik seorang berketurunan Cina berhampiran lokasi kemalangan itu dan ia kemungkinan berkait dengan roh tersebut.

"Saya sudah rawat Noraini dan kita mungkin akan dapat lihat perubahan dalam masa terdekat," katanya berjaya mengusir dua roh daripada badan Noraini.

Dakwanya, dia turut membuang satu roh dari dalam badan Jefri yang turut terlibat dalam kemalangan bersama Noraini.

Seorang peniaga, Maimunah Awang Chik, 51, memberitahu, kawasan kemalangan membabitkan dua beradik itu bagai kehausan darah.

"Ada juga kemalangan maut, kemalangan yang mendatangkan cedera parah tapi ini kali pertama kemalangan di sini yang menyebabkan mangsa bercakap dalam bahasa asing," katanya.

Namun jelasnya, mungkin ada kebenaran mangsa disampuk hantu Cina kerana berkemungkinan, mangsa kemalangan terdahulu berketurunan Tionghua.

Bagaimanapun, Ketua Pusat Kaunseling dan Kerjaya, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Ruhani Mat Min mempunyai pandangan berbeza dan menjelaskan mangsa mempunyai kebolehan yang tidak disedarinya.

Jelasnya, jika dilihat daripada perspektif psikologi dan kaunseling, ia melibatkan emosi seseorang itu yang teruja ataupun timbul keseronokan pada sesuatu perkara melalui pengalaman secara tidak formal.

"Pengalaman secara tidak formal ini diperoleh melalui pembacaan, menonton televisyen dan sebgainya.

"Namun apa yang berlaku kepada Noraini ada kaitannya dengan pengalaman separa sedarnya dan ia perlu dilihat dari sudut positif dan potensi diri itu seharusnya dikembangkan supaya kebolehannya itu dapat dimanfaatkan dan tidak hilang begitu sahaja," katanya.

Kosmo!

No comments: